Khamis, 8 September 2011

Taat agama, kasih sayang rahsia perpaduan keluarga Haji Din


Oleh Hasliza Hassan - 2011/09/08 – Berita Harian
DARI kiri Abu Hassan, Siti Khadijah, Siti Mariam, Haron, Che Wangi, Che Bee, Ishak, Rokiah, Jariyah dan Fatimah pada Hari Keluarga Haji Din dan Hajjah Che Teh di Kampung Batu Muda.
 KELUARGA besar Haji Din dan Hajjah Che Teh berhimpun pada hari keluarga di Kampung Batu Muda, Kuala Lumpur baru-baru ini.

10 beradik tak pernah bergaduh, pastikan hubungan erat

PERCAYA atau tidak, mereka adik beradik tidak pernah bergaduh atau berkecil hati kerana masing-masing bersatu hati memastikan hubungan keluarga besar seramai 202 ahli itu terus terbina atas semangat kasih sayang, toleransi dan ambil berat.

Ketika soalan itu diutarakan, 10 beradik anak pasangan Allahyarham Din Wan Awang dan Allahyarhamah Che Teh Wan Nik sepakat menjawab tidak pernah berkelahi, malah tertawa apabila menyedari penulis tidak berpuas hati dengan jawapan diberi.
Duduk semeja dengan mereka, jelas tergambar kegembiraan pada wajah tiga ustaz dan tujuh ustazah yang masing-masing masih aktif menyebarkan syiar Islam melalui kelas al-Quran, ceramah serta tugas sebagai guru Kelas Agama Fardu Ain (KAFA).
Saya gembira kerana lima adik saya berjaya mendapat ijazah berkat usaha dan doa kami sekeluarga. Sebagai kakak juga ibu, saya berharap ibu hari ini sabar mendidik anak. - Kakak Sulung, Fatimah Din
Anak perempuan sulung, Fatimah, dalam usia 75 tahun masih sihat, begitu juga adiknya Ishak (73), Datuk Haron (71), Rokiah (69), Datuk Abu Hassan (66), Che Bee (61), Mariam (59), Jariah (56), Siti Khadijah (54) dan yang bongsu, Che Wangi (52).

Anak ketiga pasangan berkenaan, Haron berkata, semua itu berkat kesepakatan dipupuk sejak kecil hasil didikan ibu bapa mereka berteraskan ajaran al-Quran yang terus disemai hingga kini bukan saja oleh mereka adik beradik tetapi anak, cucu serta cicit.

Katanya, jika timbul masalah membabitkan kepentingan semua ahli keluarga, perkara itu akan dirujuk kepada barisan tertinggi dalam hierarki keluarga iaitu kakak sulung dan abang untuk mencari penyelesaian atau kata putus.

“Kami juga mengamalkan dasar tolong menolong seperti penganjuran rumah terbuka Aidilfitri ini, semua perlu menyumbang mengikut kemampuan masing-masing,” katanya pada pertemuan pada majlis hari keluarga Haji Din dan Hajah Che Teh ke-21 yang diadakan di kediaman Abu Hassan di Kampung Batu Muda, Kuala Lumpur.
Beliau berkata, setiap tahun mereka adik beradik bersama pasangan masing-masing akan menganjurkan percutian ke luar negara dan antara tempat sudah dikunjungi ialah Beijing, Maghribi, Jordan, Palestin dan Syria.

Selain itu, sejak 1999, mereka juga sepakat mengumpulkan dana untuk menghantar ahli keluarga terdiri daripada pasangan suami isteri menunaikan ibadat haji dan tahun ini giliran anak keenam, Che Bee bersama suaminya.

Sementara anak serta cucu pula, yang cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), berjaya melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi, akan menerima hadiah wang tunai serta sijil penghargaan.

Paling mengagumkan, sejak 21 tahun lalu, semua ahli keluarga Haji Din tidak pernah gagal menghadiri majlis hari keluarga sempena Aidilfitri, baik yang dianjurkan di rumah Allahyarham ibu bapa mereka di Bohor Mali, Kangar, Perlis, atau bergilir-gilir di rumah adik-beradik mereka.

Che Bee berkata, bagi menghormati ketetapan dibuat kakak serta abang supaya hubungan akrab itu terus mekar, setiap ahli keluarga akan memastikan setiap seorang daripada mereka tidak terkecuali daripada mengambil bahagian dalam aktiviti dianjurkan.

Katanya, Alhamdulillah atas dasar kesepakatan itu, belum pernah ada ahli keluarga yang gagal menghadirkan diri setiap kali sambutan Aidilfitri kecuali mereka yang berada di luar negara atas tuntutan kerja atau mengikuti pengajian.

“Apabila kita bersatu hati, maka tiada alasan. Sebenarnya melalui persetujuan semua setiap yang dirancang menjadi kenyataan. Inilah bukti kasih sayang sejati antara adik beradik serta anak saudara,” katanya.

Ishak yang agak tegas berkata, kebahagiaan adik beradik juga hasil berpegang kepada pesan bapa supaya ikhlas mengajar serta berkhidmat kepada masyarakat kerana Allah akan bagi balasan baik antaranya perpaduan keluarga.

Beliau berkata, mereka yang berpegang kepada ajaran agama tidak akan bergaduh atau cuba memulakan persengketaan, sebaliknya orang yang suka bergaduh adalah golongan jahil.

Justeru, beliau menasihatkan supaya semua ahli keluarga mengamalkan ajaran agama dalam kehidupan seharian bagi mengelak konflik masyarakat yang kian membimbangkan hari ini termasuk keadaan keluarga berpecah-belah.

“Sekarang kita lihat adik beradik bergaduh pasal harta. Apabila ibu meninggal dunia, kami berebut juga tetapi berebut tidak mahu harta. Semua harta peninggalan ibu, tanah lima relung kami wakaf untuk sekolah agama rakyat.

“Malah, kami juga sepakat membeli lapan ekar tanah adik ibu yang terletak bersebelahan tanah Allahyarham ibu untuk diwakafkan buat asrama sekolah agama rakyat. Ini bekalan untuk Allahyarham ibu bapa kami,” katanya.

Menyelami pengalaman hidup 10 beradik yang kini menjadi inspirasi masyarakat kerana sumbangan mereka dalam bidang agama dan perubatan Islam, Fatimah mengakui mereka bukan datang daripada keluarga kaya.

Beliau sendiri terpaksa menamatkan persekolahan setakat Tingkatan Dua untuk memberi peluang kepada adik yang lain. Ketika umur 12 tahun, beliau sudah mengambil upah menjahit baju untuk membantu menyara keluarga.

“Saya gembira kerana lima adik saya berjaya mendapat ijazah berkat usaha serta doa sekeluarga. Sebagai kakak juga ibu, saya berharap ibu hari ini bersifat sabar mendidik anak,” katanya.

Tidak sah rasanya jika tidak mengorek rahsia, Fatimah berkata, anak paling nakal dalam keluarga ialah Abu Hassan yang dipanggil Pak Andak Hassan oleh anak saudaranya sementara Haron pula sering mengalah jika bahagiannya diambil adik-adiknya.

Jariah digelar ‘pak lawak’ kerana sering membuat ahli keluarga ketawa dengan cerita mengarut beliau setiap kali mereka berhimpun dan Mariam seorang yang sukar senyum.

Ditanya pula rahsia mereka yang tetap segar dan awet muda, Hassan berkata: “Rahsianya ialah senyum selalu, jangan susah hati. Jangan fikir sangat soal duit dan jika tidak ada duit pun, mesti sentiasa senyum.”

0 comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails